Enaknya tidur di dalam bilik yang dibuai ombak tasik. Meskipun kemudahannya amat sederhana - hanya katil bujang dua tingkat dan kipas, namun alunan lembut ombak tasik dan angin dingin membuatkan penulis berasa ingin lebih lama ‘bersantai’ bersama selimut.
Peluang mengunjungi Taman Negara Royal Belum baru-baru ini sangat bermakna apatah lagi dapat merasai sendiri pengalaman tidur di dalam rumah bot di atas tasik.
Kerana kekangan tugas, perjalanan ke Taman Negara yang gah namanya itu hanya dimulakan pada jam 8 malam dan penulis tiba di jeti Pulau Banding kira-kira jam 3 pagi. Oleh kerana kami tiba lewat, kami perlu menaiki bot laju yang mengambil masa 15 minit kerana rumah bot sudah bergerak ke tengah tasik dan ‘berlabuh’ semalam di Teluk Y.
Bimbang juga untuk menaiki bot laju dalam suasana gelap. Namun, kepakaran Faridzul Atras Roslan dalam mengendalikan bot laju menghilangkan perasaan bimbang bercampur teruja.
Meskipun Faridzul Atras, pemilik bot laju berkenaan masih muda, baru berusia 32 tahun namun jiwanya amat rapat dengan kawasan hutan yang mempunyai keluasan kira-kira 130,000 hektar itu. Mana tidaknya, anak kelahiran Gerik itu dibesarkan dan bermain dengan anak-anak orang Asli di situ.
Sebagai Pengerusi Persatuan Pengusaha Pelancongan Tasik Temenggor, namanya memang terkenal. Persatuan itu mempunyai 140 ahli yang kebanyakannya berminat menceburi bidang pelancongan termasuk chalet, bot, katering dan sebagainya.
Bagaimanapun kebanyakan ahli kurang mahir dalam perniagaan pelancongan. Justeru, persatuan berkenaan membantu meningkatkan kemahiran dengan mengadakan kursus berkaitan.
Sejak kecil hingga besar, kehidupannya sentiasa dikelilingi alam semula jadi yang menghijau bersalut udara segar. Ditanya tidakkah dia teringin berubah angin dan berpindah ke kota besar, dia pantas menggelengkan kepala sambil tersenyum. Tidak mungkin dia mahu meninggalkan suasana damai dan menyeronokkan di situ.
Jiwanya lebih selesa mengemudi bot laju atau rumah bot dalam kawasan Hutan Royal Belum yang masih belum diteroka dan mempunyai pelbagai keistimewaan tersendiri.
“Selepas tamat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) saya terus bekerja dalam bidang pelancongan. Dulu, saya tidak mempunyai bot sendiri dan bekerja makan gaji.
“Duit gaji yang dikumpul selama setahun membolehkan saya membeli bot terpakai untuk mencuba sendiri membawa pelancong yang mahu melihat sekitar kawasan lembah Royal Belum atau kaki pancing.
“Selepas setahun, hasil keuntungan membawa bot sendiri membolehkan saya membeli bot baru. Walaupun ketika itu hanya di kawasan lembah Royal Belum, banyak tarikan yang boleh dikunjungi sebelum berlakunya pembalakan,” katanya.
Ujarnya, Royal Belum dibuka kepada pelawat pada 2003 dan diwartakan sebagai Taman Negara Royal Belum. Atas bantuan yang dihulurkan daripada Perbadanan Negeri Perak, produk menarik mula dicari untuk diperkenalkan kepada pelancong.
Sejak itu, jumlah pelancong yang datang semakin ramai dan ia membuka peluang serta pintu rezeki kepada pengusaha bot menjalankan perniagaan.
Modal sendiri
Usaha Faridzul Atras tidak berhenti di situ saja sebaliknya dia gigih mencari sumber pendapatan lain untuk meneruskan kehidupan apatah lagi kawasan berkenaan semakin mendapat perhatian pelancong.
Justeru, pada awal 2014 dia memulakan operasi rumah bot miliknya sendiri yang diberi nama, Banding Tiong Mas selepas mendapat permintaan daripada pelanggan terutama si kaki pancing yang mahukan kemudahan tempat tidur dan keperluan lain.
Ketika itu, sudah ada 13 rumah bot yang beroperasi di kawasan sama dan dia yakin boleh bersaing secara sihat kerana mempunyai pelanggan tetap.
Ada kala dia tidak dapat memenuhi permintaan pelanggan kerana rumah botnya sudah ditempah. Dia juga tidak kisah untuk ‘memberikan’ pelanggannya kepada pengusaha rumah bot lain.
Baginya, dalam menjalankan perniagaan tidak boleh ada perasaan tamak, hasad dan hanya mementingkan diri sendiri. Malah, tidak salah untuk berkongsi keuntungan kerana mereka berada di bidang pekerjaan yang sama.
“Rumah bot ini saya reka sendiri dan mengupah tukang yang mahir menyiapkannya mengikut keperluan serta kehendak yang diinginkan bagi memenuhi permintaan pelanggan.
“Pembinaan rumah bot ini menelan belanja hampir RM450,000. Disebabkan mengeluarkan modal sendiri, rumah bot berjaya disiapkan dalam tempoh dua tahun.
“Ada juga bahan yang dicari sendiri seperti tiang yang digunakan dalam rumah bot di kawasan tasik berdekatan. Kebanyakannya, diambil daripada kayu mati dan dipakai semula kerana strukturnya masih utuh,” katanya.
Melihat perkembangan rumah bot yang perlahan, tergerak juga hatinya untuk meminjam wang daripada peminjam tidak berlesen. Namun, memikirkan kesan buruk yang mungkin dialami kelak jika tidak mampu melunaskan pinjaman seperti dijanji, dia membatalkan keinginan itu.
Akhirnya, dia berjaya mendapat bantuan dana daripada TEKUN Nasional sebanyak RM50,000 bagi mengembangkan dan meningkatkan perkhidmatannya dalam bidang pelancongan dan selebihnya menggunakan modal sendiri.
Lesen perlu ada sebelum dibenarkan membawa bot atau rumah bot. Sebelum diluluskan ada Jabatan Laut dan bomba yang melakukan pemeriksaan bagi memastikan rumah bot berkenaan selamat dinaiki.
Rumah bot Banding Tiong Mas tidak ubah seperti rumah peranginan kecil. Rumah bot dua tingkat itu dilengkapi bilik tidur (katil bujang dua tingkat atau katil kelamin), bilik air, televisyen, dapur dan ruang makan yang besar untuk memberi peluang kepada pelancong menghayati keindahan alam semula jadi. Malah, di tingkat atas juga ada dua ruang rehat yang boleh digunakan sebagai surau kecil untuk pelanggannya menunaikan solat.
“Pelbagai aktiviti boleh dilakukan ketika bercuti di rumah bot selain memancing. Semua aktiviti bergantung kepada usia pelancong sama ada disertai kanak-kanak atau golongan dewasa saja.
“Kebiasaannya, pelancong akan dibawa mengunjungi perkampungan orang Asli, melihat bunga Rafflesia, menjejak jenut (tempat binatang berkumpul menjilat tanah atau rumput yang bergaram), berakit, mandi di air terjun dan melawat santuari kelah semula jadi,” katanya
Tempahan perlu dibuat awal sekurang-kurangnya sebulan terutama apabila tiba waktu cuti panjang. Sebarang maklumat lanjut mengenai pakej dan perkhidmatan rumah bot berkenaan,012-2299534
Artikel ini disiarkan pada
:Oleh Hajahfarhana Tarmudi
hajahfarhana@hmetro.com.my Selasa, 19 Mei 2015
KELADI kemahang atau nama saintifiknya colocasia esculenta merupakan sejenis tumbuhan ubi jenis keladi daripada keluarga araceae yang lazimnya tumbuh liar di kawasan agak lembap dan subur. Menurut cerita orang dahulu kala, nama Kampung Kemahang diperoleh kerana kewujudan keladi itu yang banyak tumbuh meliar di kawasan itu. keistimewaan keladi kemahang tidak gatal sama ada daun, pelepah dan sulur keladi. Namun, punca ia tidak gatal masih tidak diketahui hingga kini. jika salah teknik masakan, boleh menyebabkan keladi tersebut bertukar menjadi gatal dan tidak boleh dimakan. “Cara masak keladi ni senang... lepas dicampurkan bahan asas seperti tempoyak dan lada, kacau sesekali saja. Masa di atas dapur jangan kerap mengacau atau balik-balikkan keladi, sebab boleh tukar jadi gatal sekali gus jejaskan rasa masakan,” katanya. Mengikut petua orang dahulu, semasa mengambil batang keladi kemahang, ia perlu dicabut terus dari perdunya dan tidak boleh bertindih bayang si pengambil atau bayan...
Comments
Post a Comment