KEJADIAN bot Orang Asli terbalik selepas merempuh 'tunggul kayu' di permukaan Tasik Temengor, Banding, Perak mungkin tidak begitu diketahui oleh dunia luar, namun tidak pernah dilupakan penduduk di sekitar tasik yang terletak di Hulu Perak itu.
Walaupun tidak dilaporkan di dada akhbar, kejadian yang berlaku pada pertengahan 1990-an itu pernah menjadi topik perbualan yang hangat kerana dianggap aneh dan luar biasa.
Penulis berkunjung ke jeti awam Tasik Temengor untuk mendengar cerita sebenar daripada Roslan Hashim.
Pengusaha warung makanan di situ merupakan antara 'orang-orang lama' yang cukup arif mengenai kisah yang berlaku di sekitar tasik tersebut.
Roslan, 53, ketika menceritakan semula kejadian itu berkata, kemalangan yang menyebabkan bot dinaiki sekumpulan Orang Asli itu terbalik ke dalam tasik bukan kerana terlanggar tunggul kayu tetapi objek tersebut sebenarnya adalah seekor ikan tapah gergasi.
"Saya sempat bertemu dengan Orang Asli yang terlibat dalam kejadian itu dan bertanya apa yang berlaku. Pada mulanya, saya juga andaikan mereka terlanggar tunggul kayu mati di tengah tasik.
"Mereka kata bukan tunggul kayu, tapi seekor ikan tapah sebesar pemeluk orang dewasa. Semasa kejadian, mereka sempat melihat ikan itu timbul beberapa kali sebelum menyelam ke dasar," katanya.
Roslan berkata, tinjauan yang dilakukan oleh penduduk Orang Asli di kawasan itu bagaimanapun gagal menemui bangkai ikan yang disangka akan mati akibat dirempuh oleh bot.
Selain kisah ikan itu, Roslan sendiri mengaku pernah melihat kelibat ikan tapah yang timbul berhampiran dengan tebing Tasik Temengor berhampiran tempat beliau berniaga kira-kira enam tahun lalu.
"Kejadian berlaku semasa saya berniaga di tapak lama iaitu di Pengkalan Trojan sekitar tahun 2007. Masa itu kawan saya panggil dan tunjuk ada sesuatu di dalam tasik.
"Saya hanya nampak kepalanya. Saiz lebih kurang setengah meter, mungkin sepemeluk dan panjang mungkin lebih dua meter. Itulah kali pertama dan terakhir saya tengok ikan tapah sebesar itu,'' katanya yang kini tinggal di Kampung Bersia Lama, Gerik.
Roslan yang juga menjadi peraih ikan air tawar di situ sejak hampir 30 tahun lalu bagaimanapun mengakui ikan tapah merupakan spesies yang sangat jarang ditemui di situ.
"Sepanjang menjadi peraih, saya tidak pernah menerima ikan tapah daripada pemancing. Selain tapah, ikan toman, baung dan temoleh juga boleh membesar sehingga mencapai berat lebih 50 kilogram,'' katanya.
Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/Rencana/20140118/re_07/Bot-terbalik-langgar-ikan-tapah#ixzz4hxl7UXO6
© Utusan Melayu (M) Bhd
KELADI kemahang atau nama saintifiknya colocasia esculenta merupakan sejenis tumbuhan ubi jenis keladi daripada keluarga araceae yang lazimnya tumbuh liar di kawasan agak lembap dan subur. Menurut cerita orang dahulu kala, nama Kampung Kemahang diperoleh kerana kewujudan keladi itu yang banyak tumbuh meliar di kawasan itu. keistimewaan keladi kemahang tidak gatal sama ada daun, pelepah dan sulur keladi. Namun, punca ia tidak gatal masih tidak diketahui hingga kini. jika salah teknik masakan, boleh menyebabkan keladi tersebut bertukar menjadi gatal dan tidak boleh dimakan. “Cara masak keladi ni senang... lepas dicampurkan bahan asas seperti tempoyak dan lada, kacau sesekali saja. Masa di atas dapur jangan kerap mengacau atau balik-balikkan keladi, sebab boleh tukar jadi gatal sekali gus jejaskan rasa masakan,” katanya. Mengikut petua orang dahulu, semasa mengambil batang keladi kemahang, ia perlu dicabut terus dari perdunya dan tidak boleh bertindih bayang si pengambil atau bayan...
Comments
Post a Comment