Kampung Belum Baru dan Kaitan Kampung Belum Lama (Royal Belum) Penduduk kampung Belum Baru sekarang adalah merupakan keturunan asal Melayu Patani yang tinggal di Perkampungan Belum Lama sejak berkurun dahulu lagi di bawah naungan kerajaan Patani/Siam (Pemerintahan Raja Reman atau Raja Rahman). Pemerintah Inggeris yang menguasai negeri-negeri Melayu sebelum kemerdekaan dahulu telah mengambil Daerah Belum Lama ini dan meletakkannya dalam peta negeri Perak pada tahun 1909 melalui perjanjian British Siam. Menurut 'Buku Sejarah HuluPerak 1963' Tun Saban anak kepada Bendahara Melaka pernah menjadi ketua masyarakat di Kg Belum Lama,Ketika itu bukanlah nama Belum Lama,ketika itu nama Relap Reli,Kg Belum Lama dibuka oleh sepasang suami isteri dengan gelaran Tok pulang Hari..gelaran Tok pulang hari diberi kerana mereka suami isteri ulang alik Pattani ke Kg Belum Lama hanya mengambil masa satu hari sahaja.Kg Belum diberi nama BELUM..berpunca daripada bunyi belalang..Apabila masuk waktu magrib akan berbunyi blum-blum. Pada 16 Mac 1952 penduduk kampung Belum Lama telah dipindahkan oleh kerajaan British secara paksa ke penempatan sekarang iaitu kampung Belum Baru disebabkan pengganas komunis telah menjadikan kampung Belum Lama sebagai pengkalan dan tempat mendapatkan bekalan dan menghasut penduduk. Kampung Belum Baru mula dihuni pada awal tahun 1953.Ada yang berpindah sebelah Perak iaitu Kg Belum Baru,ada yang berpindah sebelah Machang Kelantan dan ada pula yang pindah ke Pattani. Sejak dibawah naungan kerajaan Patani (Siam) lagi, daerah perkampungan Belum Lama adalah merupakan sebuah Daerah atau Mukim yang lengkap mempunyai Penghulu dan Ketua Kampung. Juga mempunyai kemudahan masjid dan sekolah. Pemegang jawatan ketua di perkampungan ini adalah mengikut pangkat jawatan di kalangan masyarakat Melayu seperti Tok Penghulu dan Tok Ketua (ketua kampung). Semasa orang Melayu Patani tinggal di Belum Lama, memang ada orang Asli tinggal di kawasan tersebut tetapi mereka tidak menjadi kaum dominan dikawasan tersebut sebagaimana juga orang Asli di tempat lain pada masa ini. Malah ada diriwayatkan bahawa pernah terjadi perbalahan di antara orang Melayu dan orang Asli di kawasan tersebut pada satu masa dahulu. Hanya selepas tahun 1952 iaitu setelah orang Melayu dipaksa pindah ke penempatan Kampung Belum Baru sekarang barulah orang Asli mendominasikan kawasan tersebut. Pangkat jawatan seperti 'Tok Batin' adalah jawatan atau pangkat ketua orang asli. "Tok Batin” tidak digunakan untuk jawatan dalam masyarakat orang Melayu. Malah kebudayaan dan adat kaum orang asli adalah berlainan daripada adat orang Melayu. Hanya sejak kebelakangan inilah sahaja terdapat kaum orang asli yang mengikut adat orang Melayu kerana ada yang telah memeluk agama Islam dan telah bergaul dengan orang Melayu. (mengikut cerita.. dulu-dulu ada orang Belum Lama handal dalam ilmu kebatinan,Bagi masyarakat Belum Lama dahulunya mereka berjalan kaki daripada Pattani Thailand ke Kg Belum cuma memgambil masa dalam sehari sahaja,dan pernah diceritakan oleh Pakteh,Pada zaman dahulu ada orang melayu datang daripada pattani,mengikut cerita beliau adalah orang handal disana,disebabkan beliau datang membuat kacau(tunjuk hero) dikampung Belum Lama akhirnya beliau mati dibelasah penduduk kampung Belum Lama.Menurut PakTeh lagi,penduduk kampung Belum lama dengan komunis sangat rapat,disebabkan orang melayu kampung Belum Lama handal-handal komunis pun naik gerun! Pernah kami bertanya kepada PakTeh,jika diberi pilihan tinggal di Belum Lama atau di Belum Baru,dengan pantas beliau menjawap,Belum Lama lar!..diBelum Lama makanan mewah seperti ikan,sayur-sayuran,daging dan pelbagai lagi katanya.PakTeh becerita lagi,semasa beliau kecil rajin mengikut ayahnya mendulang emas,kadang-kadang tu tak payah pergi jauh sambil mandi je...banyak ke emas Pakteh?..nak kata banyak tu dak lar tapi ada lar tujuh tempayan!..terkejut kami..huhuhu..emas tu ada dimana?tinggal disana lar..xrok nak hakut..kalau nak ambil balik boleh PakTeh?..boleh tapi ada cara dia..Ouuhhh..kataku.. Di kawasan bekas penempatan penduduk Kampung Belum Lama masih terdapat kesan sawah padi, tali air, dusun buah-buahan dan kerbau liar. Lain-lain tanda bekas peninggalan bekas penduduk Kg Belum Lama adalah 11 kawasan tanah perkuburan Islam. Ini membuktikan bahawa ianya adalah bekas penempatan orang Melayu Islam yang mengusahakan sawah padi, ternakan kerbau dan tanaman dusun buah-buahan seperti Durian, Langsat, Rambai dan Bacang serta amalan mengebumikan jenazah secara Islam. Oleh itu, tidak timbul persoalan yang menyatakan bahawa terdapat bekas penempatan orang asli di situ kerana orang asli tidak melakukan perkara yang dinyatakan diatas. Pada masa sekarang pelawat yang mengunjungi perkampungan Belum Lama berpeluang mendapatkan pengalaman semula jadi melawat penempatan orang asli dan lain-lain pengalaman di dalam hutan di kawasan Belum Lama kerana tiada lgi orang Melayu tinggal disana. Namun demikian untuk mendapatkan cerita sebenarnya sejarah masa lampau Kampung Belum Lama dan kaitannya dengan Kampung Belum Baru, pelawat bolehlah melawat ke Kampung Belum Baru. Adalah lebih relevan sekiranya bakal pelawat mendapatkan khidmat pandu arah untuk ke kawasan Kampung Belum Lama dari penduduk kampung Belum Baru kerana merekalah yang sebenarnya tahu asal usul Kampung Belum Lama. Hampir 85% penduduk kampung Belum Baru sekarang adalah generasi baru kerana ramai dikalangan penduduk asal yang berpindah dari Lembah Belum telah meninggal dunia. Namun demikian bagi beberapa orang yang masih ada, walaupun kebanyakannya telah uzur tetapi masih lagi mempunyai daya ingatan yang baik dan dapat menceritakan kisah-kisah lampau kampung Belum Lama. Sementara itu pemuda/generasi baru penduduk kampung Belum Baru telah dibekalkan dengan pengetahuan berhubung dengan kisah/riwayat Belum Lama yang diperturunkan oleh orang tua mereka. Usaha ini dijalankankan agar tidak timbul salah faham berhubung dengan perkampungan Belum Lama yang dianggap oleh setengah pihak adalah bekas penempatan orang asli sedangkan penempatan Belum Lama adalah sebuah Mukim yang ditadbirkan oleh orang Melayu keturunan Patani yang sekarang ini adalah penduduk Kampung Belum Baru. Sekiranya ada pihak yang berminat untuk melawat perkampungan Belum Lama, silalah datang ke Kampung Belum Baru kerana maklumat yang didapati adalah lebih tulen. Pada masa ini banyak pihak tertentu lebih mengutamakan ‘komersial’ dari cerita sebenar perkampungan Lembah Belum.

Comments

  1. Sangat menarik. Memang pernah dengar cerita arwah cek tentang kampung Belum

    ReplyDelete

Post a Comment

Popular posts from this blog

Jom Raso menu Orang Gerik!..