Jom Raso menu Orang Gerik!..
Apabila menyebut makanan Perak, ramai terbayang keenakan sambal tempoyak dan rendang Tok. Namun, tidak ramai mengetahui mengenai keenakan hidangan Melayu Pattani Gerik yang masih terkenal di kawasan Hulu Perak.
Jika disebut nasi lemang daun bemban, umbut bayas air lawa, kelah masak lemak, ikan sebarau masak sakai, ubi gadong dan ikan baung masak lemak tempoyak, pasti tidak tergambar akan rupanya.
Ada sesetengah generasi muda berasal dari Gerik tahu mengenai hidangan istimewa itu, namun kurang berminat untuk menghasilkan sendiri kerana perlu mendapatkan buluh sebagai bahan utama.
Walaupun buluh dan daun bemban masih boleh didapati dengan mudah di kawasan berkenaan, cara masakan yang dianggap leceh itu membuatkan
tidak ramai mahu meredah kebun atau hutan untuk mencari dua bahan berkenaan.
Menurut Pengerusi Persatuan Anak Gerik Di Perantauan (Pagar), Tajuddin Mohd Ali, sajian istimewa itu adalah hidangan gabungan Melayu Gerik Pattani yang diturunkan nenek moyang terdahulu, namun kurang ditampilkan secara meluas.
“Justeru, saya berusaha mengembalikan dan memperkenalkan semula resipi tradisional Melayu Pattani dengan sajian tradisi Perak, khususnya di Hulu Perak.
“Keunikan hidangan Hulu Perak terletak pada cara penyediaannya. Misalnya, hidangan nasi. Beras akan dibungkus menggunakan daun bemban yang tumbuh di pinggir hutan sebelum dikukus dalam tong khas atau dibakar seperti lemang dengan api sederhana.
“Daun bemban akan memberikan bau yang enak selepas nasi masak, sekali gus menambah selera ketika dinikmati bersama lauk pauk lain,” katanya.
Selain nasi, lauk pauk seperti disenaraikan di atas juga menggunakan teknik memasak yang sama iaitu dimasak dalam buluh.
Sajian ikan sebarau masak sakai pula awalnya diperkenalkan orang asli di sana, namun ia terus menjadi hidangan istimewa penduduk di situ.
Bukan itu saja, umbut daripada pokok bayas (seperti pokok kelapa) antara makanan paling diingati kebanyakan penduduk di Gerik kerana rasanya yang lemak manis.
Ia enak dimakan bersama air lawa yang diperbuat daripada kerisik dan serai selain ditambah dengan rasa pedas serta masin bagi memberi imbangan kepada rasa umbut yang manis.
“Selain itu, sambal nyur (kelapa) pula adalah satu kelainan dalam hidangan penduduk di sana. Ia dicampur dengan cili kering, cuka dan udang sebelum ditumbuk untuk menghasilkan sambal yang enak dinikmati bersama nasi panas.
“Bagi memastikan keaslian rasa dan hidangan istimewa itu tidak dilupakan, ada ahli Pagar yang membuka kedai makan berkonsepkan pondok di tepi Sungai Air Berok.
“Bersama deruan air sungai dan pemandangan alam sekeliling, pengunjung dapat menikmati hidangan unik yang disediakan dalam suasana mendamaikan,” katanya.
Malah, pengunjung juga boleh merasai keenakan ikan budu atau kini lebih dikenali sebagai pekasam. Cara pembuatan yang masih sama dengan menu asal iaitu ikan diperap dalam tempayan bersama beras goreng, garam dan asam keping turut dikekalkan.
Bagi memastikan ia tahan lama, ikan berkenaan perlu dibersihkan sebaik mungkin bagi mengelakkannya tidak mudah berulat atau rosak.
Tidak sah menikmati hidangan utama tanpa kehadiran pencuci mulut. Jika berkunjung ke Gerik jangan lepaskan peluang mencuba sajian ubi gadong dan jeruk kebebe.
Sajian ubi gadong biasanya digaul bersama kelapa parut manakala jeruk kebebe pula campuran putik buah-buahan seperti jambu, buah cermai dan nanas yang dicampur dengan belacan serta garam sebelum ditumbuk lumat.
Campuran berkenaan menghasilkan rasa masam dan pedas bagi membantu membuang rasa mual akibat terlebih makan.
Pelbagai maklumat menarik mengenai keunikan makanan di Gerik boleh diperoleh menerusi www.rainforestexplore.com. Pada masa sama, Tajuddin turut merancang untuk menerbitkan buku berkaitan menu tradisi itu dengan kerjasama Majlis Daerah Gerik.
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/32817?
Salam
ReplyDelete