PEKAN KATI! PADANG RENGAS - Bagi penduduk Kuala Kangsar, nama Kati bukanlah asing pada mereka namun ramai tidak mengetahui sejarah tempat itu dan bagaimana Kati mendapat namanya. Tidak banyak cerita disampaikan dari satu generasi ke generasi yang lain berhubung asal-usul nama Kati, justeru seakan mengiakan cerita disebarkan penduduk sejak turun-temurun. Alkisahnya, pekan Kati dahulunya merupakan tempat tumpuan kerana penduduk sekitar datang ke pekan ini untuk menjual bijih timah memandangkan masyarakat di sini terlibat dalam industri itu, puluhan tahun lepas. Ketua Kampung Kati, Mohd Nazip Osman berkata, penduduk di Kati dahulunya menjalankan kerja mendulang bijih timah di kawasan-kawasan gunung berhampiran. “Bila mereka mahu menjual bijih, mereka datang ke pekan. Bila kawan-kawan tanya, mereka kata nak ke Kati, nak timbang bijih timah. “Dari situlah bermulanya nama Kati. Sebelum itu kami tidak tahu apa nama kawasan ini namun dari mana Kati mendapat nama, dari kejadian itulah kisahnya,” katanya. Kati sebenarnya alat penimbang Dalam pada itu, seorang lagi penduduk kampung, Abdul Hamid Abdul Karim, 72, turut berkongsi cerita sama dengan Mohd Nazip berhubung asal-usul terciptanya nama Kati. Menurutnya, cerita daripada generasi terdahulu yang disampaikan kepadanya turut memberitahu perkara sama dan Hamid yakin versi tersebut merupakan kisah asal kepada wujudnya nama Kati. Tambah Hamid, penduduk di sini dahulunya menjalankan industri bijih timah dan alat penimbang seperti ‘kati’ sangat popular pada waktu itu. “Kati sebenarnya adalah alat penimbang. Kalau dulu, satu kati bersamaan dengan 16 tahil dan kini satu kati bersamaan dengan 600 gram. Selepas kati, ukurannya adalah pikul dan seterusnya koyan. “Kalau koyan pula apabila bijih timah itu memang banyak dan penuh alat penimbang. Biasanya orang dulu memang gunakan kati untuk menimbang barang. “Malah, selepas industri bijih timah berhenti, kami menggunakan penimbang ini untuk timbang daging kambing, ayam dan sebagainya,” katanya ketika ditemui di rumahnya, semalam. Tambah Hamid, dahulunya kawasan Kati dihuni ramai orang Cina kerana mereka menjalankan industri bijih timah di sini namun mereka dipindahkan ke Liman Kati pada tahun 1958. “Sebab itu wujudnya Kampung Baru Liman Kati kerana pelombong-pelombong bijih timah yang dahulunya menetap di Kati diarahkan untuk berpindah ke kawasan baru di Liman Kati. “Sebelum 1958 pun perlombongan bijih timah di sini dihentikan namun mereka hanya berpindah pada tahun tersebut. Selepas itu, penduduk di sini banyak menoreh getah untuk mencari wang,” ujarnya. Jelas Hamid lagi, Kati kini telah banyak berubah jika hendak dibandingkan dengan beberapa tahun dahulu dan padanya, kawasan itu kini sedang melalui proses pembangunan. Katanya, kemudahan yang disediakan juga kini semakin baik malah pembinaan Mini Arena di pekan Kati juga sedikit sebanyak membantu menceriakan kawasan itu. “Sekarang masjid pun dah banyak yang cantik, kemudahan seperti dewan-dewan pun banyak yang semakin baik malah jalan raya pun disediakan dengan baik di sini,” katanya. Pekan Kati kini terus membangun Sementara itu, seorang generasi baru Kati, Wan Khairul Wan Mat Isa, 45, berharap golongan belia dan pemimpin tempatan di kawasan itu dapat bekerjasama membangunkan Kati. Menurutnya, kerjasama antara ‘orang lama’ dan ‘orang baru’ amat penting kerana gabungan kedua-dua elemen itu pastinya akan memberi wajah dan persekitaran baru di kawasan itu. “Dengan perkembangan kemajuan pada masa kini, kita dapat melihat Kati semakin membangun dengan adanya beberapa tambahan kemudahan yang memberi manfaat kepada penduduk. “Sebagai anak jati di sini, sudah pasti saya mahu melihat kawasan ini membangun. Namun, biarlah ia juga seiring dengan moral dan akhlak generasi muda yang ada sekarang ini,” katanya. Tambahnya, orang muda juga perlu mengambil tahu sejarah kawasan ini kerana cerita berkaitan Kati boleh disampaikan kepada generasi akan datang sekali gus mengekalkan sejarah kawasan berkenaan. SUMBER SINAR HARIAN

Comments

Popular posts from this blog

Jom Raso menu Orang Gerik!..