
KEJADIAN bot Orang Asli terbalik selepas merempuh 'tunggul kayu' di permukaan Tasik Temengor, Banding, Perak mungkin tidak begitu diketahui oleh dunia luar, namun tidak pernah dilupakan penduduk di sekitar tasik yang terletak di Hulu Perak itu. Walaupun tidak dilaporkan di dada akhbar, kejadian yang berlaku pada pertengahan 1990-an itu pernah menjadi topik perbualan yang hangat kerana dianggap aneh dan luar biasa. Penulis berkunjung ke jeti awam Tasik Temengor untuk mendengar cerita sebenar daripada Roslan Hashim. Pengusaha warung makanan di situ merupakan antara 'orang-orang lama' yang cukup arif mengenai kisah yang berlaku di sekitar tasik tersebut. Roslan, 53, ketika menceritakan semula kejadian itu berkata, kemalangan yang menyebabkan bot dinaiki sekumpulan Orang Asli itu terbalik ke dalam tasik bukan kerana terlanggar tunggul kayu tetapi objek tersebut sebenarnya adalah seekor ikan tapah gergasi. "Saya sempat bertemu dengan Orang Asli yang terlibat da...